Hanya 30 peratus rakyat Malaysia tidak memiliki rumah sendiri dan kebanyakannya terdiri daripada mereka yang menyewa, menetap di kuarters kerajaan dan golongan muda yang baru bekerja.
Menteri Kesejahteraan Bandar, Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Datuk Abdul Rahman Dahlan berkata, golongan muda terutamanya perlu menerima hakikat bahawa mereka masih tidak mampu untuk membeli rumah dan menyewa merupakan satu pilihan yang praktikal di bandar.
Katanya, cabaran yang perlu dihadapi kerajaan adalah berbeza kerana golongan yang ingin membeli rumah mahukan harga yang murah namun mereka yang sudah memilikinya berharap harga rumah terus naik demi kelangsungan nilai harta yang dimiliki.
“Kerajaan perlu melihat juga kepada kepentingan mereka yang memiliki rumah kerana sekiranya harga rumah turun, maka nilai harta yang dimiliki mereka juga akan turut menurun dan sedikit sebanyak perkara seperti ini akan menjejaskan peningkatan ekonomi negara.
“Bagi golongan muda, menyewa adalah satu pilihan yang amat praktikal. Mereka perlu bersedia untuk menetap di rumah yang lebih kecil dan itu adalah pengorbanan yang perlu dilakukan sekiranya menetap di bandar,” katanya.
Beliau berkata demikian selepas menghadiri majlis makan tengah hari Persidangan Greater KL dan Bandar Pintar Malaysia 2015 di sini hari ini.
Menurut Rahman, setakat ini, kerajaan tidak akan memperkenalkan sebarang pendekatan bagi membendung kenaikan harga rumah sehingga hujung tahun kerana pelbagai langkah telah diambil sebagai usaha menyelesaikan masalah tersebut.
Katanya, keadaan ekonomi dunia yang tidak menentu menyebabkan kerajaan terpaksa mengambil langkah berjaga-jaga supaya tidak berlaku sebarang kegawatan atau masalah yang boleh menjatuhkan ekonomi negara.
“Saya tidak melihat kebarangkalian kerajaan akan memperkenalkan apa-apa langkah memperlahankan kenaikan harga rumah.
“Ekonomi dunia kini tidak terlalu baik, jadi kerajaan tidak akan mengambil sebarang risiko yang boleh menjejaskan ekonomi negara,” katanya.
Sumber: Utusan Melayu
{[['']]}